Berempat

 

Dari kiri: Syahmina, Athirah (Saya), Fatni & Sabrina


Seperti mana tertulis tajuk, “Berempat”. Ya, berempat. Tidak lebih atau kurang kuantitinya daripada itu. Sedang saya menyunting rakaman video untuk tugasan berkumpulan tempoh hari, lalu saya terlihat beberapa keping video yang sempat saya rakamkan sewaktu kami masih bersama-sama. Allahu, saya sangat rindu. Teramat rindu kami “berempat”. “Berempat” sebagai sahabat.


Fatni, Syahmina, Sabrina dan saya. 


Kami berkongsi kasih sayang dan kisah hidup bermula bulan Mei tahun 2019. Bermulalah segalanya apabila kami ditakdirkan Allah menjadi pelajar Tingkatan Enam di SMK Tinggi Kajang dalam kelas yang sama. Pelbagai liku telah kami lalui. Jatuh bangun tersungkur dan berdiri teguh semula. Salah faham dalam persahabatan itu pasti ada namun berjaya kami hadapi dan selesaikan dengan cara yang matang, tanpa perlu bertekak dan sebagainya. Saling meraikan perbezaan dan menerima apa adanya diri masing-masing. 


Sewaktu kami berada di Tingkatan Enam boleh dikatakan semua perkara yang kami lakukan adalah secara bersama-sama. Saling membantu, saling bertukar pendapat, saling berkongsi ilmu. Malah kami berjanji untuk menakluki pentas di hari anugerah kecemerlangan STPM 2020. Segala puji bagi Allah, berkat usaha, doa ibu bapa dan guru-guru serta dengan keizinan Allah Yang Berkehendak dalam segala. Alhamdulilah, dapatlah kami merasai bersama-bersama menggenggam keputusan 3.0 ke atas dan terpaparlah wajah-wajah kegemilangan kami dalam video yang Guru-guru Akademik Tingkatan Enam (GATE) KHS dedikasikan khas buat kohort 19/20 atau dikenali sebagai ‘kumpulan pelajar pandemik Covid-19’. 


Kami juga turut berjanji untuk melangkah kedua-dua belah kaki ke menara gading bersama-sama, di tempat yang sama. Namun, Allah lebih mengetahui apa yang terbaik dan apalah daya saya yang hanya seorang hamba lemah tidak punya apa untuk merubah takdir-Nya. Kami tidak lagi di jalan yang sama. Saya masih ditempatkan di universiti yang terletak dalam negeri yang sama. Tetapi mereka semua sudah berhijrah ke negeri lain dan pastinya sudah jauh dari pandangan saya. Ada yang berhijrah ke ibu kota, ada yang ke Pantai Timur dan ada juga yang ke Utara. Walau bagaimanapun, matlamat kami masih sama iaitu berjihad menuntut ilmu di jalan Allah sehingga memperoleh kejayaan yang diredai-Nya. 


Setahun sudah kami di jalan masing-masing. Rindu di hati hanya Tuhan saja yang tahu. Perasaaan ini bukan hanya muncul ketika permulaan sahaja apabila kami terpaksa menapaki jalan yang berbeza, malah rasa ini berlarutan sehingga ke hari ini pun, saya masih merindui mereka untuk berkongsi rutin harian secara realiti seperti dulu. Kini kami hanya berhubung melalui aplikasi Whatsapp sahaja. Jika berkelapangan, kami akan membuat panggilan video atau panggilan biasa untuk melepaskan sedikit beban rindu yang semakin hari semakin membengkak dalam jiwa ini. 


Buat sahabat-sahabat saya yang berada di kejauhan,

Saudari Fatni, Syahmina dan Sabrina. 


Semoga kalian berada dalam keadaan yang sentiasa sihat walafiat dari segi mental dan fizikal, sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat-Nya, dipermudahkan segala urusan oleh-Nya, diterangkan hati ketika menuntut ilmuNya. Saya akan tetap menjadi tempat kalian kembali dan sedia mendengar kisah suka duka hidup kalian. Sayang kalian sepenuh hati. Meskipun kalian jauh dimata namun dalam doa dan di hati saya, kalian sangat-sangat dekat. Walau kini jalan kita berbeza tetapi kita masih di bawah langit dan berpijak pada tanah yang sama. 


Saya sangat gembira dan bersyukur dipertemukan Allah dengan kalian. Terima kasih kerana jadi sebahagian daripada hidup saya, sehingga ke saat ini. Yang mewarnai kehidupan saya. Yang memberi semangat saat saya jatuh. Yang menerima apa adanya diri ini. Tanpa kalian, mungkin saya tak akan boleh melangkah sejauh ini. Mungkin juga hari-hari yang telah saya lalui, tidak akan menjadi begitu indah jika kalian tidak di sisi saya ketika itu.


Dulu kita berempat.

Semoga sehingga Jannah Allah kita masih berempat.


Aamiin insyaAllah.


Tulus ikhlas,

Athirah. 


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tetap hidup

Melunaskan Rindu Dendam