Melunaskan Rindu Dendam

Di hadapan Dewan Tan Sri Kadir Shamsuddin, SMK Tinggi Kajang 
pada hari Selasa, 6/12/2022, jam 11:50 pagi.

Pada hari Selasa 6 Disember 2022, dua hari yang lalu saya mengambil kesempatan untuk kembali ke sini. Melunaskan hal rindu yang sudah lama membengkak dalam jiwa. 

Tidak dapat digambarkan perasaan saya yang terlalu gembira apabila saya masih diberi kesempatan  untuk menyantuni guru-guru yang amat saya sayangi. Sewaktu saya menjadi pelajar di sini, guru-guru sayalah merupakan tulang belakang saya yang paling kukuh selain sahabat-sahabat dan ibu bapa saya. Saya sangat memuji cara dan sikap guru-guru saya di SMK Tinggi Kajang yang sangat menghargai anak-anak murid mereka waima saya bukanlah seorang pelajar yang bijak pandai sejak azali. Namun, selagi mana seorang murid itu menunjukkan kegigihan dalam menuntut ilmu, mereka sangat menghargai, memberi kata-kata semangat dan sudi untuk membantu sama ada dalam mata pelajaran mereka sendiri ajarkan mahupun luar daripadanya. Saya sangat bersyukur kerana dipertemukan dengan guru-guru yang sangat baik dan sahabat seperjuangan juga semuanya baik-baik belaka.

Walaupun saya tidak pernah terdetik untuk menyambung ke peringkat tingkatan enam tetapi saya tidak pernah menyesal dengan keputusan yang telah saya pilih ini kerana saya mungkin tidak akan merasakan pengalaman yang seindah ini jika saya menerima tawaran diploma. Saya tidak peduli tentang kata-kata yang dikeluarkan oleh segelintir masyarakat yang memandang serong dan menyatakan bahawa saya telah membuat keputusan yang merugikan kerana graduan peringkat diploma dianggap lebih terjamin masa depannya. Siapalah mereka untuk mengambil alih kerja Allah dengan membuat andaian sebegitu. Saya percaya jika kita ikhlas dalam menuntut ilmu maka Allah akan permudahkan seluruh perjalanan dan bergantung haraplah kepada-Nya. Tiada apa yang mustahil. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk saya. Hari ini saya telah buktikan kepada mereka bahawa saya telah berjaya dan diizinkan Allah untuk menyambung pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda. Alhamdulillah.


Bersama-sama guru kesayangan saya, Cikgu Salwa 
yang mengajar saya mata pelajaran Pengajian Am. 

Saya sempat berjumpa dengan guru kesayangan saya walaupun kami dapat berbual sekejap sahaja. Cukuplah untuk mengubat rindu saya padanya. Kami telah berpisah selama 1 tahun 9 bulan kerana beliau diarahkan untuk berkhidmat di sekolah yang berhampiran dengan rumahnya. Atas izin Allah, pada tahun ini beliau dapat kembali semula berkhidmat di SMK Tinggi Kajang. Beliau antara salah seorang guru yang rajin menghubungi anak-anak muridnya walaupun saya sudah lama meninggalkan sekolah tetapi ikatan silaturrahim antara kami masih erat sama seperti dulu. Sewaktu saya menjadi pelajarnya, banyak kebaikan beliau lakukan kepada anak-anak muridnya seperti membelanja kami makan, duit buku teks dan sebagainya. Seorang yang sangat tidak berkira. Bukan itu sahaja, beliau juga merupakan seorang pendengar yang baik. Apabila saya berada pada titik terendah, beliau sering membekalkan nasihat-nasihat yang berguna dan disebabkan itu saya berasa dekat dan senang untuk berkongsi dengannya sehingga ke hari ini. Semoga Allah sentiasa memberkati Cikgu Salwa yang amat saya sayangi dan membalas segala kebaikan yang telah beliau lakukan. 


Bersama-sama guru kesayangan saya juga, Cikgu Shamsinah
yang mengajar mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Komunikatif.

Saya juga turut mengambil peluang untuk berjumpa dengan Cikgu Shamsinah yang kini merupakan senior saya. Beliau merupakan bekas pelajar Persuratan Melayu Univerisiti Kebangsaan Malaysia, graduan tahun 1989. Aura yang dibawa oleh beliau telah berjaya memupuk minat saya yang lebih mendalam terhadap Kesusasteraan Melayu. Beliau banyak membantu saya untuk membuat penambahbaikan dalam bidang penulisan dan menghargai setiap hasil karya saya walaupun tidak seberapa. Beliau juga merupakan antara salah satu pembakar semangat saya sejak saya menduduki Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia sehinggalah ke peringkat ijazah ini. Jika Allah izinkan, saya ingin menyambung legasinya menjadi seorang pendidik atau melibatkan diri dalam bidang Kesusasteraan Melayu. 

Terima kasih yang tidak terhingga untuk guru-guru yang pernah mendidik saya sepanjang menjadi pelajar di SMK Tinggi Kajang. Saya hanya sempat berjumpa dengan dua orang guru saya sahaja tetapi tidak bermakna saya melupakan yang selebihnya. Mereka semua sentiasa dalam ingatan dan doa saya. Tanpa mereka, apalah jadi pada diri saya dan sudah tentu saya tidak boleh melangkah sehingga ke tahap ini. Semua ini berlaku atas izin Allah dan asbab guru-guru saya yang tidak pernah lelah mencurahkan ilmu dan kasih sayang kepada saya. Saya tidak pernah merasai ikatan yang seerat ini bersama-sama guru saya sehingga saya berjumpa dengan mereka. Mereka adalah guru-guru yang hebat di mata saya dan sentiasa berada pada tempat paling istimewa dalam hati kecil ini. Terima kasih untuk segala-galanya. Semoga Allah merahmati guru-guru yang saya sayangi ini dengan mengurniakan umur yang berkat, sentiasa afiat, dilimpahkan rezeki dan sentiasa berada dalam lindungan Allah. 

Sehingga ke saat ini, saya sangat merindukan zaman persekolahan saya sewaktu di SMK Tinggi Kajang. Saya sangat merindukan guru-guru dan sahabat-sahabat seperjuangan saya. Dulu saya selalu meratib, "Tak sabarnya nak habiskan zaman sekolah". Sekarang ayat itu telah memakan diri saya sendiri. Jika saya dapat mengulangi semula perjalanan saya di sini, alangkah gembiranya saya. Walau bagaimanapun, hidup perlu diteruskan supaya kita terus maju ke hadapan. Terima kasih SMK Tinggi Kajang kerana memberi saya kenangan paling indah dan menjadi sebahagian daripada hidup saya. Saya akan menyimpan kemas segala memori dalam lipatan ingatan ini sehingga ke akhir hayat. Tempat ini akan saya jadikan lokasi wajib dilawati jika saya mempunyai kelapangan untuk menyantuni guru-guru saya yang masih berkhidmat di sini. Saya sangat gembira untuk berada di sini semula. 

 Sehingga kita berjumpa lagi, insya-Allah. 


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tetap hidup

Berempat