Ujian dan Nikmat



Sedang saya merenung ke sebuah jumantara yang terbentang luas dan melingkungi bumi, tiba-tiba terimbas kembali perjalanan kehidupan yang saya fikir sangat indah. Allah Yang Maha Bijaksana mengatur segalanya. 


Dua dekad meniti titian hidup yang semakin hari semakin tidak mudah, kadang-kadang saya sering bersungut. Mengapa hidup saya begitu dan begini? Mengapa saya tidak ada seperti orang lain ada? Mengapa saya yang dipilih untuk menghadapi ujian yang begitu dan begini? Mengapa saya? Mengapa? Mengapa? Dan mengapa? Itulah soalan yang acap kali tercetus dibenak ini. Seakan dunia ini berlaku kejam terhadap saya. Semua manusia membenci saya. Tiada apa yang mahu diharapkan lagi dalam dunia. Biarkan saja saya lemas dan mati dalam kejahatannya. 


Itulah diri saya. Ketika berada pada usia remaja pertengahan. Yang berasa diri ini paling tersakiti. Yang masih buta mata hati. Padahal fikiran sendiri yang mencipta senario tidak indah tentang kehidupan.


Walhal begitu banyak nikmat yang telah Allah hadiahkan kepada saya. Kadang saya alpa untuk mensyukuri setiap satunya. Allahu Akbar! Maafkan hamba yang lemah ini, Tuhan Yang Maha Baik. Hari ini, saya cuba menyenaraikan segala perkara yang telah Allah hadiahkan dalam kehidupan saya sehingga ke saat ini. Tidak sampai angka ke-10 pun senarai saya itu, berderai air mata. Betapa baiknya Allah itu pada saya, pada sekalian hambaNya.


Saya selalu ingat dan simpan kemas dalam lipatan ingatan tentang nasihat guru yang amat saya sayangi, “ingat, kalau kita susah… ada insan yang lebih susah daripada kita.” Benarlah kata beliau. Saya yang leka dan lupa untuk mensyukuri apa yang Allah sudah hidangkan untuk saya. 


Ujian itu akan selalu ada. Pergi ke mana-mana ceruk di Bumi ini, kita sebagai manusia tidak akan dapat lari daripadanya. Ujian adalah tanda Allah sedang mengingati dan menyayangi kita. Nasib yang kurang baik itu ujian. Nasib yang baik juga ujian. Allah tidak kejam untuk menguji hamba luar dari kemampuan. Tugas kita sebagai khalifah adalah menjadikan sabar dan solat itu sebagai “penolong” dalam menghadapi ujian-Nya. 


Seperti firman Allah SWT: 


“Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”


(al-Baqarah: 153)


Hidup ini sebenarnya indah jika kita lebih mensyukuri nikmat-nikmat yang Allah kurniakan. Bukan sahaja melihat nikmat yang kita peroleh hari ini, semalam atau kelmarin malah ingatilah nikmat yang Allah kurniakan sejak dari diri dilahirkan. Kepelbagaian dalam kehidupan ini sepatutnya diraikan dan menerimanya dengan hati yang terbuka. Ujian yang datang pasti boleh kita harungi jika kita bergantung harap sepenuhnya kepada Pemilik Kerajaan Langit dan Bumi.


Sabar! Dia sentiasa ada menemani. 

Syukur! Dia sentiasa menghidangkan yang terbaik. 

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tetap hidup

Melunaskan Rindu Dendam

Berempat