365 hari yang tidak mudah, tetapi Alhamdulillah!




Usia ke-21 di dunia pada 2022. Bukanlah fasa yang mudah lagi bagi saya. 


Makin meningkat usia ini, saya percaya akan lebih kuat dan banyak ujian yang Allah kurniakan. Bukan untuk menyiksa saya sebagai hamba-Nya. Itulah tanda cinta-Nya yang sentiasa mengingati dan merindui rintihan saya. Dia tahu saya tak mudah untuk menceritakan segala isi hati ini pada sesiapa dan saya percaya Dia lah yang sentiasa menemani, tak pernah tinggalkan saya walau sekali. Saya sangat percaya Dia sentiasa di sisi dan paling setia ketika saya hilang arah, mati rasa, kecewa, sedih dan sebagainya. Terima kekurangan saya sebagai hamba-Nya. Yang tak semua manusia bisa menerima diri ini seadanya. 


Tahun ini bukanlah tahun yang saya fikir saya sudah jadi versi terbaik buat diri saya. Walau apapun, saya ingin berterima kasih kepada diri ini kerana tidak pernah mengalah dalam medan kehidupan. Saya juga ingin berterima kasih kepada Dia. Kalau bukan kerana-Nya, entah apa jadi pada diri saya. Saya berjaya harungi segala, pahit manis kehidupan ini hanya kerana saya ada Dia, dan doa ibunda. Jika tiada kedua-duanya, saya diibaratkan seperti layang-layang terputus tali.


Kini saya lebih faham, berlapang dada dan menerima segala ujian-Nya sebagai satu hadiah terindah kerana dengan ujian yang datang, banyak mengajar saya untuk menjadi manusia lebih kuat dari segi mental dan fizikal. Kalau saya diuji dengan ujian yang begitu dan begini, saya pasti ada insan yang lebih kuat ujiannya daripada saya. Walau mereka terlihat baik-baik saja, namun saya mengerti setiap insan di muka bumi ini sedang berjuang dengan cara tersendiri.


Ketenangan dan kesulitan pastinya akan datang silih berganti. Putaran waktu 365 hari pada tahun ini telah berjaya saya harunginya! Saya bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan yang bakal terjadi pada tahun-tahun akan datang, jika saya masih lagi diizinkan Allah untuk terus menikmati hidangan di dunia ini. 


Teruslah berjuang dan panjatkan doa kepada-Nya. Raikan segala perasaan dan ujian yang kita terima dengan syukur dan sabar. Walau hidup ini tidak berjalan seperti yang kita kira, kita perlu ingat Dia adalah sebaik-baik perancang. Renunglah kembali seberapa jauh kaki ini melangkah sehingga ke hari ini. Walau ribut dan badai mendatang kita masih berjuang dan bertahan. Teruskan berjuang! Kita masih ada Dia. Yang setia menemani, mendengar dan membantu kita dalam apa jua keadaan selagi kita masih bergantung harap pada-Nya. 


“Dan aku menyerahkan urusanku kepada Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Melihat akan hamba-hambaNya.” 

  • Surah al-Ghafir ayat 44

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tetap hidup

Melunaskan Rindu Dendam

Berempat